بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang dinantikan oleh seluruh umat Islam kerana bulan tersebut penuh dengan keberkatan dan rahmat Allah s.w.t. Pada bulan Ramadhan ini umat Islam diwajibkan untuk berpuasa dan memperbanyakkan amalan kepada Allah s.w.t.
Definisi puasa dari sudut bahasa, menahan diri.
Manakala dari sudut syarak, menahan diri dari makan dan dahaga serta tidak melakukan sesuatu yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari
Bulan Ramadhan juga merupakan bulan keampunan dari Allah s.w.t dan kebebasan api neraka kepada orang – orang yang berpuasa dengan keimanan dan mengharapkan redha Allah s.w.t.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w, jika datang bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga akan dibuka, ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan akan dibelenggu.
Riwayat Bukhari dan Muslim
Disebabkan itulah kita semua haruslah menghidupkan bulan Ramadhan dengan sebanyak amalan yang mampu kepada Allah s.w.t.
Amalan yang boleh dilakukan pada bulan Ramadhan adalah:
- Bersahur kerana dengan bersahur dapat memberikan kesegaran dan kekuatan bagi kita untuk meneruskan ibadah puasa. Rasulullah s.a.w juga menggalakkan kita semua untuk bersahur
Dari Anas Bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan
Riwayat Bukhari
- Memperbanyakkan sedekah kerana salah satu pintu yang dibuka oleh Allah s.w.t untuk mendapatkan ganjaran besar pada bulan Ramadhan adalah bersedekah.
- Melakukan sunat solat terawih kerana solat sunat terawih sangat istimewa kerana ianya hanya hadir pada bulan Ramadhan sahaja.
Sesiapa yang melakukan solat malam (Tarawih) pada Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan dan keampunan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu
Riwayat Muslim
- Memperbanyakkan membaca Al-Quran kerana hukum membaca Al-Quran adalah sunat tetapi pada bulan Ramadhan ganjaran kepada orang yang membaca Al-Quran adalah seperti melakukan ibadah wajib. Tambahan Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan
Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah.”
Surah al Baqarah ayat 185
- Memberi makan orang yang berpuasa kerana menginfaqkan harta untuk memberikan juadah berbuka bagi orang yang berpuasa merupakan salah satu cara untuk meningkatkan pahala seseorang
Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun daripadanya
Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah
Pelbagai lagi amalan yang boleh dilakukan pada bulan Ramadhan. Bersamalah kita untuk merebut peluang melakukan amal yang ikhlas kepada Allah s.w.t di bulan suci ini.
Sabda Rasulullah s.a.w, sesiapa yang menghidupkan Ramadhan dalam keadaan beriman dan ikhlas (kepada Allah), maka akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.
Riwayat Bukhari dan Muslim
