بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Rabiul Akhir merupakan bulan ke-4 dalam kalendar Islam. Rabiul beerti gugur atau menetap manakala bagi perkataan Akhir pula diertikan sebagai penghabisan. Bulan ini juga disebut sebagai ‘Rabi-thani’ menandakan “musim bunga”, yang merujuk kepada musim pertumbuhan tanaman bijirin di Timur Tengah.
Maka Rabiul Akhir bermakna musim bunga yang kedua dan terakhir. Maksud bagi bulan ni tidak semestinya dikaitkan dengan keadaan musim bunga sebenarnya, kerana ia hanya sekadar nama bagi bulan itu sendiri. Gelaran bagi setiap nama bulan pada asalnya sudah lama wujud sejak zaman Ka’ab bin Murrah, datuk kelima Rasulullah s.a.w. Hal ini kerana, Rasulullah s.a.w menggunakannya kerana ianya tidak mempunyai maksud yang buruk dan setelah kewafatan baginda, para sahabat juga turut mengekalkannya.
Amalan – amalan wajib atau sunat yang dilakukan pada bulan ini adalah sama sahaja dengan bulan – bulan yang lain. Hal ini menjelaskan bahawa tiada amalan yang khusus yang dianjurkan oleh agama Islam untuk dilakukan pada bulan ini. Dalam masa yang sama juga, sebagai muslim kita mestilah sentiasa meningkatkan kualiti amalan dan ibadah kearah yang lebih baik. Berdasarkan firman Allah s.w.t
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا
“Sesunggunya mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan dengan baik (berusaha memperbaiki amalnya).”
(Surah Al-Kahfi: Ayat 30)