RABIUL AWAL BULAN KELAHIRAN NABI

بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Bulan Rabiul Awal merupakan bulan ketiga dalam tahun hijrah. Bulan ini adalah bulan yang sangat istimewa kepada seluruh umat Islam kerana bulan ini merupakan bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.  Justeru itu, bulan Rabiul Awal sangat dinantikan oleh seluruh umat Islam kerana ianya berkaitan dengan manusia yang menjadi rahmat bagi seluruh alam iaitu Rasullah s.a.w

Telah tercatat beberapa peristiwa yang berlaku pada bulan Rabiul Awal ini iaitu:

 

  1. Kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah bersamaan 23 April 571 Masihi.
  2. Rasulullah s.a.w mengahwini Siti Khadijah binti Khuwailid pada 10 Rabiul Awal.
  3. Nabi Muhammad s.a.w diangkat sebagai Rasul pada 1 Rabiul Awal ketika berusia 40 tahun.
  4. Rasulullah s.a.w bersembunyi di Gua Hira’ pada 2,3 & 4 Rabiul Awal.
  5. Sewaktu berhijrah ke Yatsrib (Madinah), Rasulullah s.a.w singgah di Quba’ pada 8 hingga 12 Rabiul Awal.
  6. Nabi Muhammad s.a.w sampai di Quba’ pada hari Isnin 8 Rabiul Awal dan terus membina Masjid Quba’, yang merupakan masjid pertama dalam sejarah Islam.
  7. Rasulullah s.a.w sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiul Awal dan menunaikan solat Jumaat yang pertama bersama kira-kira 100 orang Islam yang bersama Baginda ketika itu.
  8. Telah terjadi beberapa peperangan pada bulan Rabiul Awal iaitu peperangan ‘Safwan’ (Badar pertama), ‘Bawat’, ‘Zi Amar’ (Ghatafan), ‘Bani An-Nadhir’, ‘Daumatul Jandal’ dan peperangan ‘Bani Lahyan’

Antara amalan yang boleh dilakukan oleh umat Islam pada bulan Rabiul Awal adalah:

  1. Berpuasa

Berpuasa sunat pada bulan Rabiul Awal adalah satu amalan yang perlu dilakukan bagi mengungkapkan rasa kesyukuran atas kelahiran Nabi Muhammad s.a.w pada bulan ini. Berpuasa sunat pada hari kelahiran Nabi adalah bertepatan dengan apa yang dilakukan oleh baginda sendiri. Ini berdasarkan hadith Nabi s.a.w

وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الاِثْنَيْنِ قَالَ ذَاكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيهِ وَيَوْمٌ بُعِثْتُ أَوْ أُنْزِلَ عَلَىَّ فِيهِ

Nabi s.a.w ditanya mengenai puasa hari Senin. Beliau menjawab; Itu adalah hari aku dilahirkan, pada hari itu aku diutus dan pada hari itu aku mendapatkan wahyu

2. Memperbanyakkan selawat

 

Memperbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad adalah satu amalan yang harus dilakukan oleh umat Islam kerana ianya menunjukkan kasih sayang terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Selawat juga dapat menjamin kita semua bagi mendapatkan syafaat daripada Rasulullah s.a.w pada hari akhirat kelak. Selawat kepada Nabi merupakan sunnah sepertimana yang dikatakan oleh Syekh Abdul Hamid Qudus bahwa di bulan Rabiul Awal disunahkan memperbanyak shalawat pada Rasulullah. Ia berkata; 

اعلم أنه يطلب فى هذا الشهر كثرة الصيام, والصلاة على نبينا سيد الأنام, صلى الله تعالى وسلم عليه وزاده شرفا وكرما لديه

Ketahuilah bahawa dianjurkan pada bulan ini (Rabiul Awwal) untuk memperbanyak melakukan puasa sunah dan membaca shalawat kepada pemimpin umat Nabi Muhammad s.a.w”

3. Sedekah

 

Sedekah merupakan satu amalan yang baik dan dianjurkan oleh agama Islam kerana ianya dapat meringankan beban bagi orang yang memerlukan. Amalan sedekah ini bukan sahaja ditekankan pada bulan ini tetapi sepanjang hayat manusia. Amalan sedekah ini dapat mengeratkan hubungan sesama manusia dan ianya juga merupakan amalan yang sering dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Justeru itu, dengan memperbanyakkan sedekah telah mengikuti jejak kasih sayang dan belas kasih Rasulullah s.a.w.

Marilah kita sentiasa memperbanyakkan amalan pada bulan Rabiul Awal bagi mengenang bulan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلم

Ya Allah, berilah selawat kepada penghulu kami Muhammad, hamba-Mu dan utusan-Mu Nabi yang Ummi (tidak boleh membaca) dan kepada keluarga baginda dan sahabat baginda beserta sejahtera

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Scroll to Top